Saturday 5 January 2013

JALAN DI KAWASAN TANAH RUNTUH DI SUBANG JAYA MASIH DITUTUP !!!




KEADAAN jalan di Putra Heights, Subang Jaya yang masih ditutup semalam ekoran dilimpahi banjir lumpur kelmarin.

Laluan persimpangan Persiaran Putra Bahagia dan Persiaran Putra Perdana, Putra Heights, Subang Jaya dekat sini yang dipenuhi banjir lumpur yang membuak keluar dari kolam tadahan di kaki Bukit Cermin kelmarin masih ditutup bagi kerja-kerja pembersihan.

Tinjauan Kosmo! di tempat kejadian semalam mendapati laluan sepanjang 50 meter itu masih diliputi dengan lumpur yang bertakung di jalan raya,

Kerja-kerja pembersihan dijangka siap menjelang hari ini sebelum laluan itu dapat dibuka semula.

Lokasi banjir lumpur tersebut yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan perumahan Putra Heights menyebabkan laluan di jalan Persiaran Putra Perdana tidak dapat digunakan.

Bagaimanapun, penduduk boleh menggunakan laluan alternatif dengan melalui jalan di Seksyen 27, Taman Alam Megah, Shah Alam dan Lebuh Raya Elite.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Asmawi Kasbi berkata, ekoran kejadian itu pemaju projek perumahan di Bukit Cermin diarahkan melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan terbabit termasuk membersihkan longkang yang dipenuhi lumpur.

Menurut beliau, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) sedang menyiasat punca kejadian itu selain pihak pemaju pula diminta mengemukakan laporan dan pelan tindakan bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang.

"Pembangunan projek perumahan Kingsley Hill di situ mengikut garis panduan yang diluluskan MPSJ," kata beliau ketika ditemui semasa membuat lawatan ke lokasi kejadian semalam.

Dalam pada itu, Asmawi berkata, MPSJ turut mengarahkan pemaju Kingsley Hill Sdn. Bhd. yang sedang melaksanakan projek pembinaan pelbagai jenis rumah itu supaya membayar ganti rugi kepada tujuh pemilik kenderaan yang ditimpa banjir lumpur.

Jarak projek pembinaan kawasan perumahan Kingsley Hill dengan laluan ditimpa banjir lumpur kira-kira 50 meter.

Semalam Kosmo! melaporkan, dalam kejadian pada pukul 6 petang, tujuh buah kenderaan yang melalui laluan berkenaan ditimpa banjir lumpur yang mengalir secara tiba-tiba dari kolam tadahan di kaki Bukit Cermin.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila timbunan tanah yang digunakan untuk membuat tebing sebuah kawasan pembinaan di Bukit Cermin runtuh lalu memasuki ke dalam takungan terbabit sebelum melimpah hingga ke jalan. - Kosmo!



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??