Thursday 28 March 2013

TERKINI LAHAD DATU - BODYGUARD "IMAM" DITEMBAK MATI, 2 PENGGANAS WANITA DIBERKAS !!!



Seorang anggota militan Sulu ditembak mati setelah lelaki itu menyerang seorang anggota keselamatan dengan barong (sejenis parang) ketika pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Simunul, Semporna, Khamis.


Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata anggota keselamatan itu ditetak lelaki berumur 60-an terbabit di sebelah depan dan belakang badannya ketika pasukan keselamatan menjalankan operasi bersepadu dan penggeledahan di kampung berkenaan pukul 8.40 pagi.

"Walaupun ditetak, anggota pasukan keselamatan itu berjaya melepaskan tembakan. Tiada kecederaan serius dialami anggota kita.

"Siasatan mendapati lelaki itu merupakan pengawal dan pembantu kepada seorang penceroboh militan Sulu yang dikenali sebagai 'Imam Tua'," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi FELDA Sahabat 16, dekat Lahad Datu, Khamis.

Imam Tua adalah antara pengganas yang mati dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di perkampungan atas air itu 2 Mac lepas yang juga mengorbankan enam anggota polis.

Hamza berkata hasil pemeriksaan di rumah itu, pasukan keselamatan menahan dua wanita berusia 45 dan 30 tahun yang merupakan isteri dan anak perempuan penceroboh militan yang ditembak mati berkenaan.

Kedua-dua wanita yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), katanya.

Beliau berkata juga ditahan dalam operasi itu ialah empat lelaki yang kesemuanya ditahan mengikut akta-akta lain.

Hamza berkata sehingga kini pasukan keselamatan menembak mati 68 musuh manakala 121 individu ditahan untuk siasatan di bawah SOSMA dan 443 ditangkap mengikut akta-akta lain.

Dalam pada itu, Hamza berkata ketua kampung dan ketua-ketua keluarga Kampung Tanjung Batu akan dibawa masuk bersama kumpulan penilaian terdiri pegawai daerah dan dari Majlis Keselamatan Negara ke kampung itu Jumaat bagi membuat taksiran kerosakan harta benda sebelum penduduk yang mempunyai dokumen dibenar pulang Sabtu ini.

Bagi yang tiada dokumen, mereka akan ditempatkan di satu kawasan sementara, katanya. - BERNAMA


1 comment:

  1. SYABAS KEPADA ANGKATAN KESELAMATAN KITA. AYUH PERWIRAKU..HAPUSKAN SELURUH MUSUH NEGARA KITA. ALLAHU AKBAR.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??