Monday 25 March 2013

X'CLUSIVE - TEMUBUAL KHAS SEMPENA HARI POLIS !!!



Pelbagai faktor penyebab kes jenayah berlaku, namun Polis Diraja Malaysia (PDRM) berupaya menghadapinya dengan mengambil tindakan sewajarnya walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran. 


Kes jenayah di negara ini berada dalam tahap terkawal dan tidak terlalu membimbangkan. 

Setiap tindakan yang diambil PDRM dalam memerangi jenayah adalah yang terbaik dalam memastikan keadaan keselamatan negara terkawal.

Wartawan AHMAD ISMADI ISMAIL dan jurufoto SAFWAN MANSOR merakamkan temu bual bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin dalam memperkatakan cabaran PDRM pada masa kini sempena Hari Polis ke-206.


Mohd Bakri Zinin

Apakah cabaran dihadapi JSJ ?

Polis berdepan kesukaran dalam siasatan pelbagai kes jenayah, antaranya berkaitan bukti kukuh bagi memastikan kemenangan di sudut pendakwaan.

Jangan bandingkan cerita di televisyen yang dilihat, ia boleh selesaikan kes dengan begitu pantas, namun PDRM perlukan penyiasatan menyeluruh dan kadangkala perlukan masa kerana berhadapan dengan kesukaran mengumpul bahan bukti.

PDRM memikul tanggungjawab untuk melakukan siasatan sesuatu kes, sebelum kertas laporan hasil siasatan berkenaan dihantar kepada Peguam Negara untuk pendakwaan.

JSJ harus menepati piawaian tertentu ditetapkan Peguam Negara untuk mereka meneliti kes tersebut dapat didakwa di mahkamah.

Selain itu, PDRM berusaha menangani persepsi dan sikap masyarakat supaya lebih prihatin terhadap usaha pihak berkuasa untuk mencegah dan membanteras jenayah.

Sikap kurang prihatin masyarakat yang enggan tampil menjadi saksi kejadian juga menimbulkan kesukaran terhadap penyiasatan.

Keengganan masyarakat tampil sebagai saksi kes dikatakan berpunca kerana proses pendakwaan mengambil masa yang lama sebelum hukuman dijatuhkan.

Apakah peranan masyarakat dalam membantu PDRM membanteras jenayah ?

Persepsi tidak mahu jaga tepi kain orang juga menyebabkan banyak kes gagal dilaporkan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku serta tindakan pantas diambil.

Segelintir masyarakat tidak ambil peduli jika ternampak atau terdengar insiden pergaduhan di kawasan kejiranan mereka.

Hakikatnya, kes pergaduhan boleh membawa maut dan mungkin dengan satu panggilan (talian kecemasan) boleh menyelamatkan satu nyawa.

Keterangan saksi amat penting dalam setiap kes yang disiasat sebelum ia boleh dibawa ke pendakwaan.

Masyarakat harus saling bekerjasama menjamin keamanan negara, meyakinkan pelabur asing bahawa negara kita selamat bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Adakah JSJ akan melakukan penambahan aset atau alatan canggih untuk Unit Forensik bagi membantu siasatan ?

PDRM mempunyai pelbagai alatan dan gajet canggih dalam membantu siasatan, PDRM juga akan melihat beberapa keperluan aset lain yang dapat membantu siasatan.

JSJ mempunyai 12,000 anggota, tambahan anggota akan dilakukan secara berperingkat, ada di antara mereka berkebolehan dalam bidang penyiasatan, terbaru PDRM mempunyai 300 orang  bagi membantu menambah baik mutu penyiasatan.

Adakah siasatan bagi beberapa kes kehilangan kanak-kanak masih diteruskan ?

PDRM masih membuka kertas siasatan berhubung beberapa kes kanak-kanak hilang. 

Segelintir masyarakat mempertikaikan PDRM berhubung siasatan terhadap kes tersebut.

Pada peringkat awal, PDRM menilai adakah kes tersebut berkaitan dengan kes culik, PDRM tidak boleh memberitahu perkembangan kes berkenaan kepada masyarakat kerana ia berkaitan nyawa mangsa.

PDRM masih menyiasat beberapa kes lama seperti rogol, bunuh dan kehilangan kanak-kanak, kes tersebut akan dilihat semula setiap bulan di peringkat daerah dan kontinjen.

Apakah perasaan JSJ dalam kejayaan menyelesaikan sesuatu kes ?

Kami mahu kejayaan menyelesaikan sesuatu kes itu dirasai oleh masyarakat, kejayaan itu juga dapat meningkatkan lagi kepercayaan mereka terhadap PDRM.

Jika dilihat dari sudut kejayaan, difahamkan Malaysia adalah salah satu negara yang diakui terbaik dalam dunia.

Beberapa kejayaan PRDM itu turut dihasilkan dalam sebuah buku, ia memetik beberapa laporan akhbar yang menceritakan kisah kejayaan polis dalam menyelesaikan pelbagai kes yang menarik perhatian umum seperti kes penderaan, penjualan bayi, perjudian dan pelbagai kes lain.

Media juga memainkan peranan penting dalam melaporkan kejayaan PDRM kepada masyarakat.

Tumpuan dan fokus PDRM kini adalah berkaitan dengan keselamatan negara seperti kes yang berlaku di Lahad Datu, Sabah.

Apakah harapan JSJ sempena hari polis ?

Saya berharap JSJ dapat melakukan penyiasatan terbaik bagi menghasilkan pendakwaan kes di mahkamah, ia harus mencapai kualiti penyiasatan untuk membawa penjenayah ke muka pengadilan. 

Secara tidak langsung ia memberi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat dalam menjamin keselamatan negara. - Sinar


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??