Monday 25 March 2013

X'CLUSIVE - HARI POLIS NEGARA BERKONSEP REVOLUSI KEPOLISIAN NEGARA !!!




Sambutan Hari Polis ke-206 pada 25 Mac ini akan mengetengahkan revolusi kepolisian negara sejak zaman Kesultanan Melayu sehingga kepada usaha pasukan keselamatan itu ke arah perkhidmatan masyarakat bertaraf dunia.


Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sambutan bertemakan 'Komuniti Sejahtera Komitmen Kami' di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini akan menampilkan tiga era perjalanan pasukan keselamatan itu sejak zaman Kesultanan Melayu lagi.

"Tiga era tersebut ialah pasukan polis di zaman Kesultanan Melayu sehingga negara mencapai kemerdekaan, seterusnya pasukan polis di zaman pasca merdeka sehingga era komunis dan yang ketiga menuju era kepolisian bertaraf antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, konsep ketiga-tiga era tersebut akan dipersembahkan dalam perbarisan Hari Polis, merangkumi kelengkapan dan pakaian polis pada tiga era tersebut.

Selain itu katanya, persembahan pantomin turut mewarnai sambutan itu yang akan dipersembahkan mengikut era kepolisian masing-masing.

Ramli berkata, buat pertama kalinya, pasukan polis akan mempersembahkan lagu tema perbarisan sempena sambutan Hari Polis kali ini.

Pada hari sambutan itu juga, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dijangka melancarkan buku Atlet Gemilang Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menceritakan perjalanan kerjaya ikon bina badan negara Sazali Samad yang merupakan anggota PDRM.

Lebih 5,000 pegawai dan anggota polis akan terlibat dalam sambutan Hari Polis ke-206 itu, katanya.

Dalam menuju status polis bertaraf dunia, PDRM memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti terbaharu menubuhkan Unit Rondaan Bermotosikal PDRM (URB) dengan peruntukan RM20 juta bagi membeli 1,000 motosikal.

Bagi mencapai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengurangkan jenayah, pelbagai usaha dilakukan PDRM antaranya menambah bilangan anggota di kawasan 'panas' serta penggunaan kamera litar tertutup di kawasan yang berisiko tinggi untuk mengurangkan jenayah seperti ragut, curi kenderaan dan samun.

 Hari Polis disambut setiap tahun pada 24 Mac bagi mengenang jasa dan mengingati sejarah penubuhan pasukan keselamatan itu yang banyak menabur bakti kepada negara termasuk mempertahankan negara daripada ancaman komunis.

Sempena sambutan itu, Ramli berkata, PDRM turut mengadakan hari terbuka untuk orang ramai di Pulapol pada 24 Mac dari 8 pagi hingga 5 petang.

Katanya, ia akan diisi dengan pelbagai program antaranya persembahan polis berkuda, pertunjukan daripada unit K9 dan juga pameran oleh unit trafik dan lain-lain. - siasah.com.my


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??