Thursday, 21 February 2013

KHALID TIDAK RASA BERSALAH SABOTAJ KEHIDUPAN RAKYAT SELANGOR !!!



Sebuah laman portal melaporkan baru-baru ini tentang satu mesyuarat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membincangkan soal persiapan parti itu menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang bakal menjelang tidak lama lagi.


Antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai isu Krisis Air Selangor yang dijangka akan menjadi modal bagi Barisan Nasional (BN) untuk menghentam kerajaan pimpinan Khalid Ibrahim di mana beliau dilihat agak “lembab” menyelesaikan masalah yang menghantui rakyat itu.

Dalam perbincangan para pemimpin PKR Selangor itu, timbul desas-desus kebimbangan yang kononnya BN akan berpakat dengan syarikat konsesi air Selangor, SYABAS, untuk mensabotaj dengan mengganggu bekalan air di negeri termaju itu pada PRU ke-13 nanti.

Begitulah cara pemikiran para pemimpin pembangkang yang sering menaruh syak wasangka buruk terhadap pihak lain meskipun mereka tiada asas untuk menuduh perkara tersebut.

Bahkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini begitu serius cuba menolong rakyat Selangor yang dihimpit masalah air dengan memperuntukkan sejumlah RM120 juta bagi membaikpulih infrastruktur industri air di negeri itu.

Persoalannya, masalah air telah menghantui rakyat Selangor sejak beberapa tahun lalu dan mengapa jadi begitu ?

Mulanya Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menyekat permohonan modal SYABAS untuk membaikpulih infrastruktur saliran air di Selangor dan seluruh Lembah Klang. 

Kemudian, Khalid enggan pula membenarkan loji rawatan air Langat 2 dibina.

Sedangkan paip-paip air dan fasiliti air di Selangor dan Lembah Klang perlu diselenggara serta ditukarganti bagi memastikan bekalan air kepada rakyat tidak terganggu.

Misalnya, kehidupan seramai 500,000 orang pengguna di Selangor dan sekitar Kuala Lumpur terjejas teruk apabila pam di loji rawatan air di rumah pam Wangsa Maju rosak akibat beroperasi melebihi kapasiti.

Begitu juga dengan pembinaan loji Langat 2 yang seolah-olah “disabotaj” apabila Kerajaan Negeri Selangor tidak membenarkan projek itu diteruskan. 

Padahal, jika Langat 2 dibina ia dijangka mampu menampung permintaan bekalan air yang meningkat secara mendadak di negeri itu.

Terbaru, Naib Presiden Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Rozimi Remeli pula mendakwa bahawa kerajaan pimpinan Khalid tidak membenarkan pihaknya membina pencawang baru di Selangor yang hanya melibatkan laluan sejauh satu kilometer sahaja.

Ekoran keengganan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor itu, rakyat dijangka bakal menghadapi krisis tenaga elektrik yang agak kronik dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

Menurut beliau, jika pencawang-pencawang itu tidak dibina maka ia turut akan menjejaskan lagi krisis air di Selangor dan Lembah Klang memandangkan loji Langat 2 akan bergantung kepada tenaga yang dibekalkan dari pencawang-pencawang TNB tersebut.

Berdasarkan tindakan dan sikap Khalid yang enggan memberikan kerjasama untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapi rakyat itu, timbul persoalan yang sangat meragukan tentang “siapa sabotaj siapa”, bukan ?

Bermula dari peringkat Kerajaan Pusat hinggalah kepada agensi, syarikat bekalan air dan tenaga elektrik, semuanya bertungkus lumus untuk memastikan rakyat Selangor dan Lembah Klang tidak lagi menderita menghadapi krisis air.

Tapi Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak habis-habis dengan mesyuarat, kajian, cadangan, forum, dialog dan pelbagai sebaran yang lebih tertumpu kepada agenda politik. 

Kalau setakat “air liur” yang dimomokkan kepada rakyat, apakah ia akan menyelesaikan masalah rakyat ?

Khalid sebagai Menteri Besar perlu tahu bahawa rakyat Selangor dan sekitar Lembah Klang tidak memerlukan “air liur” para pemimpin kerajaan sepertinya. 

Sebaliknya, rakyat memerlukan “bekalan air bersih” yang menjadi asas keperluan hidup harian mereka.

Kalau beliau asyik berdegil dengan ego politik yang tinggi, maka rakyatlah yang akan menderita menanggung kedegilannya. 

Berbaktilah dengan ikhlas kepada rakyat, nescaya rakyat akan menghargai dan pemimpin itu akan disanjung sebagai pembela rakyat, bukan ?


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??