Sunday 17 February 2013

KUSWADINATA DALAM KENANGAN !!! AL-FATIHAH !!!



Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan mengadakan satu kajian khusus berhubung perjalanan karier dan kegigihan pelakon veteran Allahyarham Kuswadinata supaya boleh dicontohi generasi hari ini dan akan datang.


Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata walaupun keadaan kesihatannya kurang baik, Allahyarham masih gigih untuk terus menyumbang kepada industri kreatif amnya dan industri filem khasnya.

"Sifat-sifat ini dapat dijadikan contoh dan tauladan kepada pelakon layar perak pada masa akan datang. Kita kehilangan seorang seniman yang mempunyai latar belakang serta perjuangan yang lama dan bersejarah khasnya bagi perfileman dan produksi drama Melayu.

"Allahyarham mempunyai latar belakang dan pengalaman yang lama dan luas di Singapura bersama Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Allahyarham S.Roomai Noor dan Allahyarham Omar Suwita," katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham Kuswadinata di kediaman Allahyarham di Taman Rasmi Jaya, Ampang dekat sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Md Afendi Hamdan dan Ketua Pengarah Finas Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah.

Kata Rais dalam kajian itu, pihak Finas akan bertanggungjawab berhubung sumbangan serta rekod sejarah dan perjuangan Allahyarham.

Beliau turut menyampaikan sumbangan Tabung Kebajikan Artis berjumlah RM5,000 kepada balu Allahyarham Kamariah Mohd Said, 58.

Kuswadinata atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang, 74, meninggal dunia pada 5.07 petang semalam di Hospital Ampang kerana beberapa penyakit termasuk kanser usus dan sakit buah pinggang.

Menurut Kamariah jenazah Allahyarham dibawa dari kediaman beliau ke Masjid Bukit Indah, Ampang untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Kosas sebelum solat Zohor hari ini.

Allahyarham yang dilahirkan di Singapura memulakan kerjaya sebagai pelakon pada tahun 1957 melalui syarikat perfileman Cathay Keris.

Allahyarham yang diingati dengan watak 'Abang Kus' dalam filem Seniman Bujang Lapok antara lain turut membintangi filem Ibu Mertuaku, Antara Dua Darjat, Lang Buana dan Gerak Khas III. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??