Tuesday 21 August 2012

PERTEMUAN 2 KSU - ADAKAH KRISIS AIR SELANGOR BAKAL DIATASI ?!!


Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah mengarahkan ketua setiausaha (KSU) kementeriannya untuk berjumpa dengan kerajaan negeri Selangor bagi menyelesaikan isu pembinaan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).

“Ketua setiausaha saya telah diminta untuk mengadakan perjumpaan dengan ketua setiausaha kerajaan negeri Selangor,” kata Datuk Seri Peter Chin pada rumah terbuka Hari Raya di kediaman rasmi Perdana Menteri di sini, Ahad.

Ketika ditanya bilakah perjumpaaan itu akan diadakan, beliau berkata “secepat mungkin.”

“Ia mungkin selepas Hari Raya. Saya minta kerajaan Selangor untuk duduk bersama dengan kita bagi mendapat kata sepakat.

“Biarkan projek itu dilaksanakan. Mengenai isu pengendalian loji itu apabila ia siap kelak, kita boleh berbincang mengenainya,” katanya.

Beliau berkata, kata sepakat mesti dicapai bagi memastikan loji berkenaan dapat disiapkan menjelang 2015.

“Air tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ia tidak memberi faedah kepada semua. Akhirnya, kita tidak dapat satu persetujuan kerana politik, rakyat pula akan menderita kerana tiada air,” katanya.

Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri buntu mengenai isu bekalan air di Selangor sejak beberapa tahun, di mana kedua-duanya tidak bersetuju mengenai keperluan mengadakan Loji Rawaran Air Langat 2.

Chin berulang kali menyatakan pendirian kerajaan persekutuan bahawa beberapa loji yang dijalankan oleh kerajaan negeri telah melebihi kapasiti bagi memenuhi permintaan, menjadikan satu keperluan untuk membina yang baru dengan mencadangkan projek Loji Rawatan Air Langat 2 secepat mungkin bagi mengelakkan krisis yang bakal berlaku seawal 2014.

- mStar Online -


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??