Sunday, 3 March 2013

KERAJAAN SABAH AMAT HARGAI SUMBANGAN DAN PENGORBANAN WIRA-WIRA NEGARA KITA !!!


Kerajaan negeri Sabah menghargai sumbangan dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan yang terlibat dalam menangani insiden pencerobohan kumpulan warga Filipina di Kampung Tanduo kira-kira 130 kilometer dari sini.


Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan dihargai dalam mempertahankan kedaulatan negara.

"Kita sampaikan ucapan takziah daripada kerajaan negeri dan rakyat Sabah kepada keluarga anggota yang terkorban semalam," katanya kepada pemberita selepas melawat dua anggota komando yang cedera dan menerima rawatan di Hospital Lahad Datu di sini Sabtu.

Dua anggota komando yang cedera dan menerima rawatan hospital di sini adalah Kpl Mohd Tarmizi Hashim, 32, dan Kpl Azman Ampong, 39.

Seorang lagi anggota yang cedera, Konstabel Mohamad Qaiyum'aiqal Zolkifli, 22, menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Insiden tembak menembak semalam menyebabkan dua anggota komando terkorban iaitu Insp (ASP) Zulkifli Mamat, 29, dan Kpl (SJN) Sabarudin Daud, 32, manakala 12 anggota kumpulan penceroboh itu turut terbunuh.

Kumpulan itu menceroboh Kampung Tanduo sebuah perkampungan nelayan pada 12 Februari lepas.

Menurut Musa selain kerajaan pusat, kerajaan negeri akan memberi bantuan yang sewajarnya kepada keluarga anggota komando yang terkorban dan cedera itu.

Katanya beliau akan melawat seorang lagi anggota komando yang cedera itu di Hospital Duchess of Sandakan di Sandakan esok.

Mengenai insiden itu, Musa yakin pasukan keselamatan mampu menangani krisis itu dan tahap kawalan keselamatan telah ditingkatkan.

"Krisis ini akan tamat tidak lama lagi dan yang penting kita tenang dalam hadapi krisis ini," kata Musa. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??