Sunday, 10 March 2013

LAHAD DATU - MOHON SUMBANGAN SELIMUT DAN TILAM !!!



Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) berkata penduduk Lahad Datu, Sabah yang terpaksa berpindah ke tiga penempatan sementara ekoran insiden pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina, memerlukan lebih banyak sumbangan tilam, selimut dan bantal.


Presidennya Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata tinjauan pihaknya di lokasi pemindahan iaitu Embara Budi, Fajar Harapan dan Cenderawasih sejak Khamis lalu mendapati ramai penduduk termasuk kanak-kanak tidur di atas lantai dan sumbangan keperluan itu akan dapat membantu penduduk tidur dengan lebih selesa.

"Mereka terpaksa keluar (berpindah) dengan tiba-tiba tanpa membawa pakaian dan apa-apa keperluan asas.

"Selain pakaian, tilam, bantal, selimut juga banyak diperlukan untuk pastikan mereka selesa kerana mereka pun tidak tahu bila dapat mereka pulang ke rumah masing-masing," katanya ketika dihubungi menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI) yang disiar secara langsung di TV3, pagi ini.

Beliau berkata sumbangan berbentuk buaian atau kelengkapan bayi juga diperlukan kerana pihaknya mendapati terdapat kira-kira 500 bayi dan kanak-kanak di kesemua pusat pemindahan sementara itu.

Sehubungan itu Abdul Azeez meminta badan bukan kerajaan (NGO) memberi perhatian khusus dengan menyalurkan lebih banyak sumbangan bagi membantu misi kemanusiaan kepada penduduk yang terlibat dengan insiden pencerobohan itu.

Beliau bagaimanapun mengingatkan mereka yang ingin menyalurkan sumbangan dan masuk ke kawasan pemindahan supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Saya lihat rakyat Malaysia hati mereka mulia, mereka berebut nak beri sumbangan namun saya minta jangan masuk macam tu sahaja, agak bahaya, bekerjasama lah dan minta kebenaran dengan pihak polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Sejak isu pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu 12 Feb lepas, lapan anggota polis terkorban manakala 53 pengganas dilaporkan terbunuh.

Sementara hampir 2,000 penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara berikutan langkah pasukan keselamatan memperluas operasi menjejaki kumpulan pengganas di Kampung Tanduo. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??