Monday, 4 February 2013

JANGAN TERPEDAYA DENGAN PENCULIK AGAMA - TUN M !!!




Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan kebimbangan beliau terhadap kemungkinan pembangkang menganjurkan demonstrasi berpanjangan sekiranya tewas dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, perkara itu mungkin boleh berlaku kerana pakatan pembangkang seringkali menjadikan negara-negara Arab sebagai contoh.

Katanya, demonstrasi jalanan seperti Mesir boleh berlaku di negara ini kerana pembangkang menggunakannya sebagai model untuk menjatuhkan kerajaan.

"Apabila mereka kalah, mereka akan mengadakan demonstrasi berpanjangan untuk menjatuhkan kerajaan. Mereka akan mengikut cara-cara di negara Arab dengan mengadakan perhimpunan sehingga 200,000 orang di bandar-bandar besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dalam Forum Islam dan Keamanan anjuran Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Kedah dan Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, tindakan menjadikan negara-negara Arab sebagai contoh adalah tidak wajar memandangkan situasi di sana berbeza dengan negara ini.

"Apa yang berlaku di sana adalah kerana mereka ada pemerintahan kuku besi dan mereka tidak mengikut ajaran sebenar Islam. Di Malaysia, keadaannya berbeza kerana kita di sini tiada pemerintahan kuku besi," katanya.

Beliau berkata, di Malaysia pemerintahan dijalankan secara demokrasi malah sistem pemilihan pemimpin juga dilakukan secara adil.

"Di sini, kalau nak pilih parti lawan pun boleh. Kalau kuku besi, takkan pilih sampai kalah di lima negeri dahulu. Jadi, dakwaan kata pilihan raya tak bersih itu tak betullah," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr. Mahathir menyelar segelintir cerdik pandai agama yang menggunakan pendekatan 'menculik' agama Islam demi kepentingan tertentu.

Lebih membimbangkan katanya, penculik agama itu sanggup menyalahgunakan Islam untuk mewujudkan perpecahan termasuk kafir-mengkafir sesama sendiri.

"Perpecahan dan peperangan sesama Islam berlaku kerana kita lari daripada ajaran. Agama Islam mengutamakan keamanan terutamanya antara orang Islam dengan Islam sebab kita bersaudara.

"Memanglah adakalanya berbeza pendapat sedikit, tetapi sampai mahu membunuh atau kafir mengkafir jelas tidak mengikut kehendak Islam seperti termaktub dalam al-Quran," katanya.

Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri itu turut mencadangkan agar umat Islam mendalami selok-belok agama dengan bahasa yang difahami.

"Memanglah al-Quran itu dalam bahasa Arab, namun kita harus baca juga tafsiran atau terjemahan dalam bahasa yang kita fahami. Ini penting bagi membolehkan kita tidak dimanipulasi oleh golongan penculik agama," jelasnya. - Utusan



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??