Monday 1 October 2012

TEKS BAJET 2013 : MEMAKMUR NEGARA, MENSEJAHTERA RAKYAT: SEBUAH JANJI DITEPATI


TEKS UCAPAN BAJET 2013

Oleh;

YAB DATO' SERI MOHD NAJIB RAZAK 
PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN 

“MEMAKMUR NEGARA, MENSEJAHTERA RAKYAT: SEBUAH JANJI DITEPATI”

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2013 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.

MUQADDIMAH

Saya mulakan lafaz ucapan Bajet 2013 dengan kalimah mulia Bismillahirrahmanirrahim dan memetik sepotong ayat dari Surah Al-Baqarah yang diturunkan di Madinah, bahawa : 

“Berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan,kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua pada hari kiamat untuk menerima balasan. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” 

Tuan Yang di-Pertua,

1. Saya berdiri di dewan yang mulia pada petang Jumaat yang berbahagia, penghulu segala hari, untuk membentangkan bajet kelima bagi pihak Kerajaan semenjak mula memegang amanah selaku Menteri Kewangan Malaysia pada tahun 2008. 

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah rahmatNya jua, kita telah menyaksikan sepanjang tempoh tersebut, melalui usaha kolektif rakan-rakan anggota pentadbiran dengan sokongan ahli-ahli parlimen, penjawat awam dan seluruh rakyat Malaysia, negara tercinta ini telah berjaya dilindungi daripada kesan terburuk akibat kegawatan kewangan global. 

Bahkan, ekonomi negara telah diletakkan di landasan pertumbuhan mapan ke arah transformasi sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi. 

Manakala kesejahteraan rakyat pula telah dipertingkatkan secara berterusan.

2. Sesungguhnya, Bajet 2013 ini sebagai penerus tradisi terbaik Kerajaan Barisan Nasional memakmurkan negara dan membawa kesejahteraan kepada semua rakyat. 

Ia manifestasi sebuah janji yang ditepati. 

Sejak 55 tahun lalu, pada setiap peringkat pembangunan negara, rakyat Malaysia telah meletakkan kepercayaan mereka kepada Kerajaan yang sama. 

Terima kasih kita ucapkan atas kepercayaan tersebut. 

Sekali-kali sepanjang masa dan musim berguling ia tidak pernah dikhianati, sebaliknya pada setiap ketika ia telah dibalas dengan laba pada julat berganda. 

3. Kerajaan ini hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan, bintang mahupun cakerawala. 

Kita tidak pernah melakar lukisan yang pada hari ini tampak muluk-muluk dan indah tetapi sebenarnya berupa racun yang berbisa. 

Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tetap menceritakan kebenaran biarpun kelat. 

Kita tidak pernah mendodoi rakyat dengan dogengan lipurlara sebaliknya sentiasa menawarkan penyelesaian serta kepimpinan bitara terhadap segala permasalahan rakyat.

4. Telah terbukti tanpa tersanggah lagi bahawa ekonomi Malaysia merupakan ekonomi berteraskan rakyat. 

Ia hasil wawasan dan aspirasi rakyat. 

Ia merupakan manifestasi kerja keras dan jerih payah rakyat. 

Ia sumbangan masyarakat desa dan bandar, golongan profesional serta pekerja kolar biru, petani, buruh, peladang, pekebun kecil, nelayan, guru, pensyarah dan karyawan. 

Didukung pula para penjawat awam dan usahawan. 

Di atas segalanya, ia diuruskan secara teliti dan berhemah oleh Kerajaan yang meletakkan kebajikan rakyat di atas jemalanya. 

Inilah formula kejayaan Malaysia.

5. Sayugia, mengurus sebuah negara majmuk yang kompleks seperti Malaysia bukan perkara mudah. 

Ia memerlukan keikhlasan dan kebijaksanaan kerana rakyat Malaysia amat cerdik menilai yang mana intan dan yang mana kaca. 

Hakikat rakyat telah memberi mandat kepada Kerajaan ini sebanyak 12 kali tanpa putus semenjak 1959 bermakna sesuatu yang betul telah dilakukan oleh Kerajaan sedia ada.

6. Sesungguhnya waad yang wujud itu, di antara rakyat dan Kerajaan selama ini mana mungkin mampu dipunahkan waima sekuat mana pun fitnah dan mehnah melanda. 

Sehubungan itu, naskah bajet yang akan saya persembahkan ini merupakan sebuah penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia lantaran terus meletakkan kepercayaan kepada kami di sepanjang ketika. 

PRESTASI EKONOMI 2012 DAN PROSPEK 2013 

Tuan Yang di-Pertua,

7. Kerajaan komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang meskipun dalam persekitaran global yang tidak menentu dan mencabar. 

Asas ekonomi yang kukuh serta disokong oleh sistem monetari akomodatif telah membolehkan ekonomi negara berada di landasan teguh. 

Dalam tempoh separuh pertama 2012, ekonomi negara tumbuh pada kadar 5.1 peratus didorong, terutamanya oleh kekukuhan aktiviti pelaburan dan penggunaan swasta. 

Negara terus menerima kemasukan pelaburan langsung asing bersih berjumlah 13.6 bilion ringgit selaras dengan peningkatan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama.

8. Bagi keseluruhan tahun 2012, walaupun pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia sederhana, pertumbuhan ekonomi negara dijangka berkembang kukuh pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. 

Pertumbuhan ini dipacu oleh pelaburan swasta sebanyak 11.7 peratus atau mencapai 127.9 bilion ringgit. 

Prestasi ini jauh lebih besar berbanding jumlah pelaburan sebanyak 81 bilion ringgit pada tahun 2009. 

Trend ini menunjukkan aktiviti pelaburan domestik semakin rancak, terutama dengan pelaksanaan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi. 

Ini mendorong sektor pembinaan terus melonjak tinggi sebanyak 15.5 peratus berbanding 4.6 peratus pada tahun 2011.

9. Persekitaran ekonomi domestik yang mantap juga mendorong bursa saham mencatat prestasi yang menggalakkan. 

Ini terbukti dengan Indeks Komposit Bursa Malaysia telah mencecah rekod tertinggi 1,654.11 mata pada 4 September 2012. 

Nilai modal pasaran telah meningkat sebanyak 44 peratus daripada 999 bilion ringgit pada akhir tahun 2009 kepada 1.43 trilion ringgit pada akhir Julai 2012.

Pendapatan per kapita pula meningkat kepada hampir 31 ribu ringgit pada tahun 2012 berbanding 25 ribu ringgit pada tahun 2009. 

Rizab antarabangsa pada 14 September 2012 pula kekal kukuh mencatat 432.2 bilion ringgit, mampu membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.

10. Pada tahun 2013, berdasarkan persekitaran ekonomi global yang dijangka lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus. 

Julung kalinya, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nominal dijangka melepasi paras 1 trilion ringgit. 

Pertumbuhan lebih baik ini didorong oleh pelaburan dan penggunaan swasta sebanyak 13.3 peratus dan 5.7 peratus. 

Sektor pembinaan dijangka terus meningkat kukuh 11.2 peratus diikuti oleh sektor perkhidmatan pada kadar 5.6 peratus. 

PERUNTUKAN BAJET 2013 

Tuan Yang di-Pertua, 

11. Bajet 2013 akan menyediakan peruntukan sejumlah 251.6 bilion ringgit bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek pembangunan, menumpukan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. 

Daripada jumlah tersebut, 201.9 bilion ringgit adalah bagi perbelanjaan mengurus dan 49.7 bilion ringgit bagi peruntukan pembangunan. 

12. Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah 58.6 bilion ringgit adalah bagi Emolumen dan 33.7 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. 

Manakala, 107.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. 

Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan untuk Pembelian Aset dan baki 1.2 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.

13. Bagi peruntukan pembangunan pula, sejumlah 30 bilion ringgit disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. 

Sejumlah 11.1 bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. 

Seterusnya, 4.6 bilion ringgit diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, 2 bilion ringgit bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.

14. Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2013, jumlahnya dianggarkan 208.6 bilion ringgit, berbanding 207.2 bilion ringgit pada tahun 2012. 

Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan akan terus berkurangan kepada 4.0 peratus daripada KDNK bagi tahun 2013, berbanding 4.5 peratus pada tahun 2012. 

Ini menunjukkan Kerajaan komited untuk terus mengurangkan defisit fiskal ke paras lebih rendah. 

FOKUS BAJET 2013 

Tuan Yang di-Pertua,

15. Bajet 2013 digubal dengan fokus untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh negara, memastikan pertumbuhan ekonomi mapan, perbelanjaan berhemah dan mengurangkan defisit fiskal negara dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat. 

Kerajaan akan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik serta manfaat maksimum hasil daripada pelaksanaan program dan projek pembangunan. 

Oleh itu, Bajet 2013 dirangka bertemakan “MEMAKMUR NEGARA, MENSEJAHTERA RAKYAT: SEBUAH JANJI DITEPATI” dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??