Wednesday 2 January 2013

HAMPIR SEMUA MUFTI TIDAK AKAN HADIR DI ACARA TV HADI - HADI PERLU BERTAUBAT !!!



Dua mufti tidak setuju dengan cadangan forum yang bertujuan memberi peluang kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang memperjelaskan amanat mengkafirkan UMNO kerana bimbang ia menjadi wadah memenuhi kepentingan peribadi dan politik kepartian pihak tertentu. 

Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin berpendapat forum itu tidak wajar diadakan kerana ia berpotensi menimbulkan polemik berterusan, manakala Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria secara tegas tidak mahu terbabit dengan agenda politik Hadi dan tidak akan hadir walaupun dijemput. 

Mohd Tahrir berkata, selain boleh menimbulkan polemik berpanjangan, kesan forum itu akan menjejaskan imej agama dan umat Islam. 

“Justeru, lebih elok jika forum itu tidak diadakan,” katanya.

Ditanya sama ada akan menghadirinya, beliau berkata ia bergantung kepada perbincangan dengan mufti negeri lain terlebih dahulu.

Harussani ketika dihubungi semalam mengulangi bahawa Hadi hanya perlu menarik balik amanat yang dikeluarkan pada 1981 dan bertaubat bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Benda sudah salah tidak perlu ada forum. Saya cuma nak nasihatkan beliau bertaubat dan menarik balik amanat itu. Tak ada faedah pun forum itu diadakan.

“Saya tidak akan hadir... buat apa hendak menegakkan benang basah. Saya bukan mencari siapa salah, siapa betul. Saya kata perbuatan itu salah, habis cerita... kalau dia kata tak salah, dia punya pasal,” katanya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim ketika mengulas mengenainya kelmarin, berkata kerajaan akan menjemput tokoh agama dan mufti hadir dalam forum berkenaan.

Ia susulan hasrat Hadi yang mahu muncul di televisyen selama sejam untuk menerangkan isu perpecahan umat Islam selepas mengeluarkan amanat yang mengkafirkan UMNO di Terengganu pada 1981.

Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad pula mahu ia diadakan secara tertutup kerana penganjuran forum terbuka atau secara langsung menerusi televisyen boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi agama dan memburukkan lagi keadaan.

“Saya khuatir adakah kebenaran atau populariti yang hendak dicari? Jika kebenaran yang dicari, tidak bolehkah forum itu diadakan secara tertutup?

Jangan terperangkap

“Jika perbincangan membabitkan dua kumpulan dalam kalangan tokoh agama yang diadakan secara terbuka, sesiapa saja yang menang atau kalah akan memberi kesan kepada imej institusi agama. Jangan kita terperangkap dengan agenda politik pihak berkepentingan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan hadir, Mohammad Shukri berkata, ia tertakluk kepada kebenaran istana, Setiausaha Kerajaan Negeri dan ketetapan yang dicapai dalam forum antara mufti.

“Sebelum menyatakan komitmen, mufti perlu memandang jauh dan melihat daripada pelbagai aspek... berbeza dengan orang politik.

“Katakanlah mufti dijemput, mungkin kita akan berbincang dulu sesama mufti mengenai kewajaran untuk hadir. Keputusan itu berdasarkan apa kebaikan jika hadir dan apa persiapan perlu dilakukan termasuk merujuk pada kitab kerana ia tidak boleh diputuskan begitu saja,” katanya.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman pula membayangkan tidak akan hadir forum berkenaan.

“Kita dahulukan Mufti Perak dan Mufti Wilayah Persekutuan (Datuk Wan Zahidi Wan Teh). Mereka ada bukti dan lebih awal mengemukakan isu berkenaan, mereka yang patut hadir,” katanya tetapi enggan mengulas panjang.

Sementara itu, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya bersedia untuk hadir dan bersetuju jika ia disiarkan secara langsung.

Moderator bebas

“Saya amat bersetuju kalau siaran secara langsung dan telus. Amat besar harapan umat Islam supaya isu ini dileraikan dan semua pihak perlu jujur untuk Islam,” katanya.

Beliau turut mencadangkan beberapa nama selaku moderator bebas yang arif dalam sejarah dan perkembangan gerakan Islam seperti Prof Datuk Dr Agus Yusof dan Ketua Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad pula berkata, beliau akan meneliti perkara itu lebih mendalam sebelum membuat keputusan.

“Sekarang saya belum boleh buat apa-apa keputusan lagi, mungkin selepas saya teliti dulu isunya,” katanya. - BHarian


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??