Wednesday 11 January 2012

PENDIRIAN ILMU - MAHASISWA DAN SOCRATES !!!

Kali ini, I4TT ingin kongsikan penulisan seorang sahabat FB I4TT iaitu TAN SRI DR. NORDIN KARDI. Beliau adalah Penyandang Kursi Za'ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).




Pendirian orang di menara ilmu

IBU saya, Maimunah tidak bersekolah tinggi tetapi dia pandai menulis dan membaca.

Dia dibawa lari oleh datuk saya meninggalkan kampung halaman kerana komunis memujuk supaya ibu saya diserahkan kepada mereka untuk dijadikan jurutulis.

Benarkah beliau akan menjadi jurutulis? Tiada siapa ketika itu yang mempercayainya.

Oleh kerana ibu saya lebih dahulu pandai membaca dan menulis dialah yang selalu menyampaikan pelbagai cerita Melayu kepada saya. Antara cerita Melayu yang saya ingat sampai sekarang adalah cerita 'Lembing Awang Pulang Ke Dayang', yang kemudiannya saya baca sendiri dengan teliti termasuk pengajarannya.

Pengajaran cerita itu seperti amat diperlukan sekarang untuk menyelamatkan umat yang tidak berdosa oleh keinginan elit politik melaksanakan sama ada idea mereka yang tulus atau idea yang tersembunyi di sebaliknya hajat dan cita-cita peribadi.

Diceritakan 99 orang menjadi mangsa kerana lembing Awang yang terasa dikhianati yang dilontar dari seorang ke seorang yang tertikam sehinggalah lembing itu menikam ayah Dayang yang serta-merta berhenti tidak melontarkannya lagi kepada orang lain. Ayah Dayang memutuskan untuk memberhentikan perbuatan yang menyebabkan ramai orang mati jika kerja merejam diteruskan.

Saya diberitahu ibu saya bahawa dalam setiap kemungkaran dan dendam orang yang berilmu akan sanggup mengorbankan dirinya untuk memastikan kemungkaran, dendam dan kezaliman tidak akan berlanjutan.

Dalam konteks sekarang siapakah sepatutnya menjadi orang yang berilmu itu yang sanggup mengorbankan dirinya demi kesejahteraan umat? Agama Islam mengajarkan bahawa orang yang baik ialah orang yang dapat mengawal dan menghapuskan nafsu amarahnya. Yang berupaya mengawal semua itu sewajarnya ialah orang berilmu.

Lawannya pula ialah mereka yang sangat cenderung membuat propagasi persengketaan, permusuhan dan kemusnahan. Dengan yang sedemikian, golongan itu hendaklah dilihat sebagai bukan ilmuwan yang patut diikuti atau dijadikan ketua.

Suasana panas di kampus-kampus pada masa ini dengan pelbagai latihan dan senaman menguatkan lengan dan penumbuk tidak sekali-kali menggambarkan kesucian menara ilmu. Kesediaan golongan menara ilmu untuk turun ke jalan-raya mencuba kekerasan lengan dan otot dengan strategi diatur oleh segolongan guru dan pentadbir menara ilmu yang sembunyi tangan selepas membaling, tidak sekali-kali mewakili tradisi menara ilmu, sebaliknya mewarisi tradisi kolesium perlawanan haiwan dengan haiwan, haiwan dengan manusia dan manusia melawan manusia untuk tontonan.

Mereka ialah wakil golongan barbarik yang membenarkan diri mereka dipersenda dan diketawakan oleh golongan elit politik yang sadis.

Orang yang cintakan ilmu tentu pernah membaca bagaimana Socrates yang mempunyai beberapa pilihan seperti lari meninggalkan negaranya, bangun melawan atau sedia meminum racun yang dipaksakan demi mempertahan kepercayaan ilmu yang dipegangnya.

Socrates berkata, jika dia lari atau bersuaka di tempat lain, dia menganggap dirinya sebagai manusia yang takutkan mati dan dengan itu dia bukanlah seorang ahli falsafah yang tulen. Jika dia lari bersuaka di tempat lain dia yakin jika dia terus berpegang kepada yang benar dan dipercayainya dia akan terus menyoal di tempat dia bersuaka itu dan persimpangan yang sedang dihadapinya akan tetap berulang, kecualilah jika dia sanggup menipu dirinya dan orang lain.

Sebaliknya Socrates berkata, jika dia sanggup tinggal di bumi yang dipijaknya ketika itu dia hendaklah setia dengan undang-undang bumi itu, meskipun dia mungkin tidak setuju dengannya, dan dengan sebab itu dia disakiti.

Katanya, itulah 'kontrak sosial' antara dirinya, ideanya dan negara. Mencederakan negara kerana idealismenya walau dia merasakannya benar tidak boleh sama sekali dilakukan orang yang berpegang kepada kepercayaan tentang adanya kontrak negara bangsa. Akhirnya, Socrates diminumkan racun yang meragut nyawanya demi idealisme dan demi negara bangsanya.

Di manakah pendirian masyarakat menara ilmu? Ke manakah perginya guru-guru besar yang berilmu di universiti sehingga mereka memejamkan mata membiarkan calon-calon 'Aristotle' dan 'Plato' ditarik oleh elit-elit politik untuk keluar ke jalan-raya dijadikan boneka dan bahan mainan di medan kolesium yang berpaksikan kekuatan lengan dan betis dan bukan berpaksikan kekuatan otak dan fikiran?

Tidakkah tradisi menara ilmu yang sebegini yang wajar dipertahankan sebelum para guru besar universiti menuntut pelbagai jenama baru di bawah payung induk 'kebebasan akademik'.

Wajarkah guru-guru besar di universiti yang mengaku berilmu membiarkan melihat sahaja dan menunggu kesudahan kemelut yang menjulingkan kebenaran tradisi kebebasan akademik itu?

Tidakkah orang universiti ingat bahawa permulaan kepada apa yang dikatakan kebangkitan emansipasi orang muda di kampus pada tahun 50an dan 60an bukan tulen berasal daripada tradisi ilmu sebaliknya tradisi hippi yang tidak langsung berkaitan dengan keunggulan ilmu.

Adakah Socrates seorang yang pengecut berperang? Tidak sama sekali, sebaliknya Socrates pernah menjalani khidmat negara sebagai tentera Athenian di dalam perang Potidaea, Amphipolis dan Delium.

Namun sekali dia telah memilih kakinya memijak dunia ilmu, semangat perwiranya tidak lagi disalurkan melalui kekuatan lengan dan otot. Keberanian dan ketabahan Socrates menerima hukuman meminum racun menyebabkan baton tradisi ilmu itu disambut dengan lancar dan jelas oleh Plato, Aristotle dan Xenophone dan Aristophanes.

Tidak ada kekeliruan perbezaan otot lengan dengan kekuatan fikiran dan otak dalam tradisi ilmu dan falsafah. Demikian juga dengan tafsiran kontrak sosial kenegaraan yang begitu jelas kepada orang berilmu seperti Socrates yang sepatutnya menjadi asas tafsiran buku demokrasi bukan tafsiran demokrasi jalanan yang menghunus kekuatan dan keagungan kuasa buku lima.

Dalam tradisi alam Melayu, tradisi ilmu Hamzah Fansuri yang tidak diterima oleh penguasa semasa tidak mendorong ilmuwan seperti Hamzah Fansuri mengangkat lengan, apa lagi mendorong pengikutnya seperti Syamsudin Al-Sumatrani membawa rakan-rakannya ke jalan-raya untuk mempropagasikan idea penentangan Hamzah Fansuri.

Hamzah Fansuri berpesan : Silan itu ombaknya kisah, banyaklah akan ke sana berpindah, topan dan ribut terlalu 'azamah, perbetuli pedoman jangan berubah. Amat penting supaya orang di menara ilmu mempunyai pedoman yang jelas tentang pendirian orang berilmu dan sentiasa kuat berpegang kepada disiplin dan tradisi itu supaya tidak nanti universiti bertukar daripada konsep stadium ilmu kepada sebuah kolesium.

Orang di menara ilmu dibayangkan berbeza melihat sesuatu berbanding orang jalanan seperti pesanan Hamzah Fansuri lagi: Hai sekalian kita yang kurang, nafsumu itu lawan berperang, jangan hendak lebih baiklah kurang, janganlah sama dengan orang. Bolehkah orang universiti menjadi Socrates atau sekurang-kurangnya ayah Dayang yang tidak terus merejam lembingnya?


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??