Thursday 12 January 2012

HASAN ALI PERLU TERUS PERJUANG ISLAM, BANGSA DAN INSTITUSI RAJA !!!



Perlu atau tidak bagi bekas Pesuruhjaya PAS Selangor selama lapan tahun Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang dipecat daripada parti Ahad lepas merayu untuk kembali kepada parti?

Walaupun mempunyai 30 hari untuk merayu atas pemecatannya, banyak pihak berpendapat Exco Kerajaan Negeri Selangor itu tidak perlu membuang masa selama itu kerana pertimbangan yang wajar baginya ialah "orang dah tak mahu, saya pun tak ingin".

Bagi seorang pejuang sepertinya, yang dipandang tinggi oleh bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa sendiri sebagai tokoh yang gigih memperjuangkan Islam walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan, Hasan tidak memerlukan PAS untuk meneruskan perjuangannya.

Hasan menyatakan asas perjuangannya ialah Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu manakala soal beliau tidak akan dicalonkan PAS pada pilihan raya umum akan datang bukan hal utama baginya.

"Soal ini (calon) kecil. Agenda nak martabatkan Islam bukan sempadannya Selangor, Perak, Malaysia tetapi alam buana ini. Kalau itu menyebabkan saya kecewa, saya rasa kecil benarlah cita-cita untuk menegakkan Islam itu," katanya pada sidang media sebelum ini.

Jika berasakan dianiaya oleh PAS sedangkan beliau adalah antara segelintir tokoh golongan profesional yang menyertai parti itu, wajar Hasan meninggalkan terus PAS, yang ternyata tidak menghargai sumbangan dan perjuangannya menegakkan syiar Islam.

"Dalam perjuangan dan juga Islam, bergandingan dengan jemaah adalah perlu. Jemaah yang dipilih untuk memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja-raja tidaklah semestinya jemaah PAS kerana bukan PAS sahaja yang Islam," kata seorang pemerhati yang hanya mahu dikenali sebagai Hamed, 64, dari Shah Alam.

Hasan tentunya tahu bahawa salah kalau dikatakan orang PAS sahaja yang memperjuangkan Islam sedangkan UMNO, malah banyak pertubuhan bukan kerajaan juga berada di jalan yang sama, malah mungkin lebih gigih dan berjaya.

Di Malaysia, terdapat pelbagai jemaah Islam dan Hasan boleh memilih mana-mana yang sesuai dengan beliau.

Dalam konteks ini, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sudah mempelawa beliau menyertai mereka manakala Umno pula tidak mempelawa beliau tetapi bersikap terbuka jika Hasan mahu menyertai parti berkenaan.

Hamed, seorang peniaga yang mengakui tidak berparti, berpendapat tindakan PAS terhadap Hasan sudah melampau, tanpa memberi peluang mempertahankan diri atau diberi surat tunjuk sebab, mungkin bukan ditujukan kepada Hasan semata-mata tetapi juga amaran keras kepada semua anggota dan pemimpin PAS lain.

"PAS mahu menyenangkan hati rakan-rakannya dalam pakatan pembangkang dan akan merasa lebih aman tanpa suara menentang seperti Hasan, dan beberapa kerat yang lain yang tentunya tidak mahu mempertaruhkan peluang menjadi calon dalam pilihan raya akan datang," tambahnya.

Dengan pengalaman sebagai bekas pegawai kanan kerajaan serta sebagai pakar motivasi, tentunya Hasan boleh menyumbang kepada masyarakat di pelbagai peringkat umur dan dalam banyak cara serta bidang lain.

Platform mencapai massa banyak tersedia dan terkini Hasan dilihat bekerjasama erat dengan sekretariat Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (HIMPUN), sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan yang wujud berikutan timbul isu-isu yang membabitkan akidah umat Islam dicabar di negara ini.

Hasan pasti dialu-alukan oleh pelbagai pertubuhan dan keputusan untuk menyertai mana-mana kumpulan kini berada di tangan beliau sendiri untuk meneruskan perjuangannya untuk Islam, Melayu dan institusi Raja. - BERNAMA


Pssstttt... wa sokong Hassan Ali !!!!



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??